JANTUNG diperbuat daripada otot dan sistem elektrik canggih yang terdiri daripada bateri dan bateri sokongan bagi membolehkannya mengepam darah keluar dan masuk. Jantung hanya boleh mengepam darah keluar dan masuk jika terdapat cetusan tenaga elektrik.

Pakar Runding Kanan Kardiologi Hospital Pakar KPJ Kajang, Selangor Dr. Onn Akbar Ali berkata, jantung seakan-akan rumah yang mempunyai ruang atau bilik, injap atau pintu, saluran darah atau sistem paip, dinding atau otot jantung dan sistem elektrik.

“Apabila otot jantung lemah boleh menyebabkan lemah jantung. Serangan jantung pula disebabkan saluran jantung tersumbat dan rentak jantung tidak normal pula disebabkan oleh sistem elektrik jantung terganggu,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di KPJ Kajang, Selangor.

Mengenai aritmia atau rentak jantung tidak normal, Dr. Onn berkata, ini adalah masalah sistem elektrik di dalam jantung yang menyebabkan simptom seperti

1. Jantung berdebar-debar

2. Sesak nafas

3. Sakit dada

4. Pitam atau pengsan

5. Ada pesakit tidak mempunyai simptom tetapi kena strok.

 

Terdapat dua jenis rentak jantung tidak normal

1. Rentak jantung tidak normal disebabkan sistem elektrik di bahagian ruang atas jantung tidak normal atau dinamakan supra ventrikular (SVT).

Pesakit yang mengalami sakit dada berdebar-debar jarang menyebabkan mereka pitam atau pengsan. Ini tidak melibatkan nyawa dan kaum wanta menghidapinya dua kali ganda berbanding lelaki.

2. Rentak jantung yang tidak normal disebabkan sistem elektrik bahagian bawah tidak normal sangat bahaya. Pesakit boleh pitam dan pengsan serta boleh menyebabkan meninggal dunia.

Dr. Onn menambah, pesakit yang mengalami simptom seperti dada berdebar-debar, sesak dan sakit dada dinasihatkan terus datang ke hospital atau klinik untuk mendapatkan ujian ECG dengan segera.

Pesakit perlu dapatkan rawatan secepat mungkin semasa tanda-tanda tersebut walaupun kebanyakannya tidak berterusan dan hanya akan muncul beberapa hari atau beberapa bulan atau tahun kemudian. Jadi pesakit perlu menjalani beberapa ujian seperti:

1. ECG untuk mengesan rentak jantung,

2. Echocardioram untuk mengimbas jantung,

3. Holter yang dipasang 24 jam untuk mengesan rentak jantung, dan

4. Ujian darah untuk tiroid.

Dr. Onn berkata, adakalanya pesakit mengalami simptom berdebar-debar atau sakit dada yang serius tetapi terjadi sekali-sekala dan sukar dikesan melalui ECG atau Holter.

Untuk kes seumpama ini pesakit akan menggunakan ECG implant mikrocip kecil yang dimasukkan di bawah kulit di dada bagi mengesan rentak jantung tidak normal.

“Semua maklumat rentak jantung boleh dinaik turun melalui secara tanpa wayar atau dipindahkan melalui bluetooth ke telefon bimbit dan dihantar terus ke doktor.

“Ini memudahkan doktor mengesan jika berlaku rentak jantung tidak normal.

“Biasanya bateri mikrocip boleh tahan sehingga dua tahun,” katanya.

Terdapat dua jenis aritmia iaitu

1. Jantung berdebar-debar cepat yang boleh berlaku sama ada dari ruang atas atau bawah jantung.

2. Jantung berdebar-debar perlahan yang boleh berlaku sama ada dari ruang atas atau bawah jantung.

“Biasanya rawatan atau ubat diberikan bergantung kepada jenis aritmia yang dihidapi tetapi masalah utama rawatan aritmia kerana rentak jantung tidak normal, tidak berlaku sepanjang masa,” katanya.

Dr. Onn berkata, terdapat kes di mana ada orang yang mempunyai rentak jantung yang berlebihan dinamakan ektopik yang tidak berbahaya dan biasa berlaku pada wanita.

“Sistem elektrik jantung mempunyai bateri utama di bahagian atas selain bateri sokongan serta sistem elektrik. Jantung mempunyai banyak sokongan elektrik yang ditentukan oleh bateri utama.

“Apabila bateri utama tidak berfungsi, bateri sokongan akan mengambil bahagian. Tetapi kadangkala cetusan elektrik awal berlaku menyebabkan sesak nafas atau jantung berdebar disebabkan injap belum bersedia,” katanya.

Ini menyebabkan rentak jantung tidak normal tetapi tidak berbahaya, cuma pesakit rasa tidak selesa. Ini dinamakan skipped heart yang boleh berlaku di ruangan bahagian atas atau bawah jantung.

“Ektopik tidak berbahaya tetapi pesakit hanya berasa tidak selesa,” katanya.

Dr. Onn berkata, serangan jantung atau lemah jantung yang berlaku boleh menyebabkan rentak jantung tidak normal dan ini boleh membawa maut.

Rawatan aritmia bergantung kepada jenis seperti berikut:

1. Ubat perlahan nadi jantung tetapi tiada ubat untuk memcepatkan rentak jantung perlahan.

2. Prosedur electrophysiology di mana wayar akan dimasukkan dari kaki ke jantung untuk mengkaji elektrik jantung. Ukuran voltan akan diambil dan dilakukan pemetaan sistem elektrik jantung.

3. Peralatan berfungsi dengan meletakkan bateri bawah kulit di dada.

  • Pace maker – cepatkan nadi jantung perlahan.
  • Defibrillator – memberikan kejutan elektrik kepada pesakit apabila rentak jantung terlalu cepat.

Maklumat tentang saiz jantung, fungsi jantung dan sejarah serangan jantung serta sejarah keluarga amat penting untuk pesakit mendapatkan rawatan yang sesuai.