Connect with us

Kesihatan Lelaki

Lelaki Dan Masalah Prostat

Masalah prostat lelaki merupakan keadaan yang sering terjadi, khususnya untuk lelaki yang usianya lebih tua. Salah satu jenis gangguan prostat yang paling terkenal adalah kanser prostat.PROSTAT adalah kelenjar yang terletak di pangkal pundi kencing golongan lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai urethra.
Label: masalah prostat, kanser prostat, simptom prostat, tanda masalah prostat, prostat bengkak

Spread the info
Lelaki Dan Masalah Prostat
Photo: Shutterstock Masalah Prostat

Masalah prostat lelaki merupakan keadaan yang sering terjadi, khususnya untuk lelaki yang usianya lebih tua. Salah satu jenis gangguan prostat yang paling terkenal adalah kanser prostat.

PROSTAT adalah kelenjar yang terletak di pangkal pundi kencing golongan lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai urethra.

Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani.

Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat. Penyakit dan masalah yang utama adalah Benign Prostatic Hyperplasia (Pembesaran Kelenjar Prostat) dan kanser prostat.

Pembesaran Kelenjar Prostat

Benign Prostatic Hyperplasia atau BPH adalah pembesaran kelenjar prostat yang disebabkan oleh rangsangan hormon testosterone.

Pertambahan saiz prostat sebegini dapat dilihat di kalangan lelaki berumur 40 tahun ke atas. Mengikut perangkaan, lebih 50 peratus lelaki pada peringkat umur 40-an menghadapi masalah ini dan peratusan berkenaan meningkat kepada 75 peratus di kalangan mereka yang berumur 80 tahun ke atas.

Bilangan kes BPH di Malaysia kian meningkat dengan bertambahnya bilangan warga emas. Pada ujian saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan 2004, lebih 50 peratus daripada lelaki yang disaring didapati mempunyai gejala ini.

Saiz kelenjar prostat yang besar daripada normal akan menyebabkan salur kencing yang melalui kelenjar tersebut sempit.

Akibatnya, mereka yang mempunyai masalah ini akan kerap mengalami kesukaran dalam membuang air kecil.

Antara tanda-tanda akibat BPH termasuklah aliran kencing yang kurang baik (poor stream), kerap membuang air kencing (frequency), tidak dapat mengosongkan pundi kencing selepas membuang air (incomplete emptying) dan air kencing menitik dari kemaluan selepas selesai membuang air (terminal dribbling).

Selain itu, pesakit juga akan mengalami nokturia iaitu perlu bangun dari tidur pada waktu malam untuk membuang air kecil.

Sekiranya tidak dirawat, pembesaran kelenjar prostat yang tidak dikawal akan menyebabkan salur kencing tersumbat dan pesakit tidak dapat membuang air kencing secara normal.

Selain itu, tekanan di dalam pundi kencing yang tinggi boleh menyebabkan risiko buah pinggang menjadi bengkak dan gagal berfungsi (renal failure).

Pembentukan batu karang juga boleh berlaku di dalam pundi kencing akibat masalah tersebut. Oleh kerana pesakit perlu meneran untuk mengeluarkan air kencing, dia juga berisiko mendapat penyakit hernia.

Selain masalah kesihatan, pesakit juga akan menghadapi pelbagai masalah sosial kerana perlu kerap ke tandas untuk kencing.

Oleh kerana pesakit kadang kala terpaksa ke tandas dengan begitu kerap, hingga sejam sekali, ini akan mengganggu aktiviti sosialnya seperti ketika melancong, menonton wayang atau memandu kereta ke tempat yang jauh.

Keperluan bangun pada waktu malam untuk membuang air kencing juga mengganggu tidur seseorang pesakit dan menyebabkannya letih pada siang hari kerana kurang tidur. Ada juga pesakit yang perlu bangun antara enam hingga lapan kali setiap malam.

 

Pengesahan dan rawatan

Pengesahan penyakit BPH memerlukan sejarah kesihatan pesakit dan tanda-tanda pesakit digunakan untuk mengkategorikan sama ada keadaan serius atau tidak mengikut International Prostate Symptom Score (IPSS).

Tahap IPSS antara lapan hingga sembilan memerlukan rawatan. Sekiranya tahap IPSS seseorang itu adalah 20 hingga 35, keadaannya dikategorikan sebagai serius.

Pemeriksaan fizikal melibatkan pemeriksaan melalui dubur untuk mengesahkan bahawa kelenjar prostat sudah membesar.

Di pusat urologi, terdapat juga alat yang dapat mengukur sama ada aliran air kencing lemah atau tidak (uroflowmeter).

Ujian darah yang perlu dijalankan adalah untuk menentukan fungsi buah pinggang (renal profile) serta bagi menyaring antigen kanser prostat (PSA- Prostate Specific Antigen).

Rawatan untuk BPH pula mungkin secara pengambilan ubat-ubatan ataupun pembedahan. Ubat yang digunakan adalah jenis alpha-2-blocker yang berperanan mengurangkan saiz kelenjer prostat.

Selain itu, ubat jenis 5-alpha reductase dapat membantutkan pembesaran saiz kelenjar prostat dengan mengurangkan penghasilan hormon testosteron.

Berbanding dengan alpha-2-blocker yang memberi kesan hampir serta-merta, ubat jenis 5-alpha reductase hanya akan memberi kesan selepas lebih kurang satu bulan, tetapi kesannya juga lebih berpanjangan.

Kebanyakan kes BPH dapat dirawat dengan kaedah perubatan. Pembedahan diperlukan sekiranya tanda-tanda tidak dapat dikawal lagi dengan ubat atau sekiranya terdapat komplikasi seperti batu karang.

Pembedahan yang biasa dijalankan adalah transurethral resection of prostate (TURP) di mana bahagian prostat yang menyebabkan salur kencing menjadi sempit dibedah untuk membolehkan air kencing mengalir dengan elok semula.

Pembedahan ini dijalankan secara endoskopi di mana teropong khas (endoskop) dimasukkan ke dalam salur kencing dan membolehkan kelenjar prostat dibedah dengan hanya menggunakan alat endoskopi.

Komplikasi yang mungkin terjadi akibat pembedahan ini termasuk pendarahan, masalah pancutan air mani (retrograde ejaculation) serta mati pucuk.

Kaedah-kaedah baru rawatan termasuk dengan penggunaan tenaga gelombang mikro untuk memusnahkan tisu prostat (transurethral microwave thermotherapy).

 

Kanser prostat

Masalah prostat akibat kanser terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Risiko menghidapi kanser prostat juga bertambah apabila umur melebihi 45 tahun.

Purata umur penghidap pada masa mula didiagnosis adalah 70 tahun. Di Amerika Syarikat, ia telah kerap terjadi di kalangan lelaki berketurunan Afrika.

Antara orang terkemuka yang meninggal dunia akibat kanser prostat termasuk bekas presiden Perancis, Francois Mitterand, presiden Zaire, Mobuto dan pelakon Bill Bixby.

Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara berbanding BPH.

Biasanya ia dikesan melalui ujian saringan PSA (prostate specific antigen). Apabila saiz prostat bertambah, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang serupa dengan BPH seperti kesusahan keluar air kencing, aliran kencing yang lemah, kencing kerap serta nokturia.

Selain itu, mungkin akan terdapat darah yang keluar bersama air kencing pesakit. Pada ketika ini, kanser prostat boleh dikesan secara pemeriksaan dubur kerana ciri-ciri strukturnya yang berbiji-biji kasar serta keras.

Pada peringkat lewat, sel-sel kanser prostat boleh merebak melalui aliran darah ke organ-organ lain seperti tulang, terutamanya tulang paha, serta ke paru-paru.

Seseorang pesakit akan mengalami sakit pada tulang serta masalah bernafas. Sekiranya tulang belakang juga terlibat, tekanan terhadap saraf tunjang akan menyebabkan seseorang itu lumpuh pada kedua-dua kaki.

 

Mengesan dan merawat

Seperti yang dinyatakan tadi, kanser prostat dikesan melalui pemeriksaan dubur serta ujian saringan PSA.

Ujian biopsi prostat melalui dubur berpandukan ultrasound (transrectal ultrasonic biopsy) juga perlu dilakukan untuk mengesahkan seseorang itu menghidapi kanser prostat.

Kanser prostate boleh dirawat secara pembedahan dengan mengeluarkan seluruh kelenjar tersebut (radical prostatectomy). Di sesetengah pusat pakar urologi, prosedur ini turut dijalankan dengan bantuan robot.

Radioterapi (sinaran X) juga boleh digunakan untuk merawat kanser prostat dengan memusnahkan sel-sel kanser.

Ia amat berfaedah terutamanya jika pembedahan tidak dapat dijalankan pada sesetengah pesakit yang berisiko tinggi.

Radioterapi juga digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai sel-sel kanser yang telah merebak ke tulang paha dan tulang belakang.

Kaedah rawatan lain termasuk kaedah hormon iaitu penggunaan ubat untuk menghentikan sel-sel kanser prostat daripada dirangsang oleh hormon dihydrotestosterone.

Kaedah ini menghalang hormon dihydrotestosterone daripada dihasilkan dan ini akan menyebabkan sel-sel kanser prostat berhenti membahagi serta membesar.

Paras dihidrotestoterone boleh diturunkan juga melalui pembedahan dengan mengeluarkan kedua-dua buah zakar.

Ini kerana buah zakar berfungsi menghasilkan testosterone yang boleh merangsang kelenjar prostat menghasilkan dihydrotestosterone.

Kaedah rawatan hormon biasanya digunakan apabila kanser prostat telah sampai ke peringkat lewat.

Walaupun dapat mengurangkan bilangan sel-sel kanser, ia tidak dapat menyembuhkan pesakit, dan lagipun, ia cuma berkesan untuk satu hingga dua tahun sahaja.

Fungsi utama pada peringkat ini adalah untuk melegakan tanda-tanda sakit pada pesakit yang sudah tenat.

Salah satu ciri kanser prostat adalah sel-sel kansernya kebanyakannya membiak dengan perlahan berbanding kanser yang timbul pada organ lain seperti usus dan perut.

Kajian melalui pembedahan mayat (autopsi) pada lelaki yang meninggal dunia akibat punca-punca lain mendapati 30 peratus daripada mereka yang berumur 50 tahun sudah mempunyai kanser prostat dan angka ini meningkat kepada 80 peratus di kalangan mereka yang berumur 70 tahu ke atas!

Ini bermakna kebanyakan lelaki tidak akan sedar bahawa mereka sudahpun mempunyai kanser prostat serta tidak mengalami apa-apa gejala dan tanda akibat kehadiran kanser tersebut dan akan meninggal dunia akibat punca lain seperti sakit jantung bukannya kerana kanser prostat.

Akhirnya, masalah kelenjar prostat boleh diatasi sekiranya dapat dirawat pada peringkat awal. Lelaki yang berumur 50 tahun ke atas dinasihatkan berjumpa doktor untuk menjalani ujian saringan melalui borang soal jawab IPSS, pemeriksaan dan ujian darah supaya gejala ini dapat dikesan serta dirawat pada peringkat awal.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Spread the info
Continue Reading

Kesihatan Lelaki

5 Petunjuk Tahap Kesihatan Lelaki

5 Petunjuk Tahap Kesihatan Lelaki

5 Penunjuk Aras Tahap Kesihatan Lelaki

Hakikatnya penyakit tidak mengenal usia, bangsa, agama mahu pun jantina. Apa yang boleh dilakukan adalah mencegah dan kemudiannya jika tidak berkesan, merawat. Bagi lelaki kesihatan mungkin bukan topik yang digemari. Namun tidak bermakna soal kesihatan lelaki dipandang ringan.

Mungkin ada perkara-perkara kecil yang mesti diberi perhatian oleh kaum lelaki untuk menentukan sama anda boleh dikategorikan sebagai lelaki sihat.

Petanda Kesihatan Lelaki 1 : Kuku yang kuat dan berwarna merah jambu.
Penjagaan kuku mungkin tidak tersenarai sebagai perkara penting dalam diari kesihatan kaum lelaki. Tetapi percayalah kuku boleh mendedahkan banyak mengenai kesihatan seseorang. Secara umumnya, kuku individu yang sihat berwarna merah jambu, kukuh tetapi lembut. Sedikit perubahan pada kuku seperti tompok putih dan permukaan yang sedikit tidak rata adalah perkara biasa, namun sebarang perubahan besar mesti diberi perhatian. Kuku yang tebal dan berwarna kekuningan mungkin isyarat bagi penyakit berkaitan pernafasan seperti bronkitis yang kronik. Kesan lekuk melintangi kuku yang dikenali sebagai garisan Beau pula tidak mustahil membawa maksud individu berkenaan mengidap diabetes. Kuku yang berbentuk seperti sudu yang melengkung keluar mungkin menunjukkan masalah kekurangan zat besi. Biar pun perubahan pada kuku bukan isyarat atau petunjuk pertama kepada sesuatu penyakit, tetapi adalah lebih baik rujuk masalah tersebut kepada doktor anda.

Petanda Kesihatan Lelaki 2 : Warna air kencing
Pernahkah anda terfikir untuk menjalani ujian air kencing untuk melihat sama ada anda sihat atau sebaliknya? Jika tidak, mungkin sudah tiba masanya untuk anda berbuat demikian kerana ujian air kencing boleh mendedahkan petunjuk-petunjuk penting tentang kesihatan anda. Air kencing sepatutnya berwarna keperangan untuk menunjukkan seseorang itu sihat. Bagaimanapun warna perang atau kuning pada air kencing boleh berbeza bergantung kepada jumlah air yang diminum. Jika anda minum air yang banyak maka kebiasaannya air kencing selalu kelihatan jernih dan secara perubatan ia menunjukkan anda sihat. Bagaimanapun jika anda mengalami dehidrasi, air kencing anda akan berwarna perang gelap. Selain faktor warna, sentiasa berwaspada jika terdapat sebarang perubahan besar. Bau kurang menyenangkan, tompokan darah atau warna-warna lain yang tidak berkaitan dengan makanan, ubat atau suplemen yang diambil mesti dipandang berat.

Petanda Kesihatan Lelaki 3 : Pancutan air mani
Lelaki pertengahan umur yang sihat sepatutnya mempunyai keupayaan untuk memancutkan antara 2 dan 5 ml air mani. Semakin berusia seseorang lelaki itu semakin kurang air mani yang dipancutkan. Justeru 2 ml air mani adalah petunjuk hypospermia – keadaan yang boleh memberi kesan kepada kesuburan seseorang lelaki. (Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyokong kadar 2 ml). Selain daripada jumlah, warna serta konsistensi air mani juga menjadi petunjuk kepada kesihatan lelaki. Lelaki yang sihat sepatutnya mempunyai air mani yang pekat, berwarna putih atau sedikit kelabu. Air mani yang bercampur dengan darah mungkin ada kaitan dengan masalah kesihatan.

Petanda Kesihatan Lelaki 4 : Kadar degupan jantung semasa berehat 70 bpm
Kadar degupan jantung semasa berehat (RHR) atau jumlah degupan jantung seminit semasa berehat adalah indikator yang bagus untuk menentukan paras kecergasan anda. Walaupun RHR berbeza mengikut usia, bagi lelaki yang sihat jumlah RHR antara 70 dan 75 degupan seminit (bpm) adalah sasaran yang munasabah. Malah, RHR antara 60 and 100 bpm secara umumnya dianggap normal bagi lelaki dewasa. Kadar degupan jantung di luar catatan tersebut boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius dan boleh menjadi petunjuk kepada beberapa masalah kesihatan anda. Untuk mengukur denyut nadi, letakkan dua jari pada pergelangan tangan. Apabila merasa denyutan nadi, lihat jam dan kira denyutan selama 15 saat. Darab jumlah tersebut dengan empat untuk mendapat kadar denyutan anda seminit.

Petanda Kesihatan Lelaki 5 : Kulit anjal
Ukuran keanjalan kulit biasa digunakan untuk menentukan paras dehidrasi. Cirit-birit atau muntah-muntah menyebabkan seseorang kehilangan cecair dalam badan. Kulit yang sihat kekal anjal dan akan kembali normal apabila masalah tersebut pulih. Untuk menguji keanjalan kulit anda, cubit kulit di belakang tangan anda. Kulit yang kering akan kekal terangkat dan secara perlahan kembali kepada kedudukan asal. Kulit yang sihat pula akan kembali normal dalam masa yang singkat.

Adakah anda lelaki yang sihat? Semakin hari kita dibanjiri dengan pelbagai maklumat mengenai penyakit, tetapi jarang sekali kita disogokkan dengan makna sebenar menjadi sihat. Walaupun lima tanda ini bukan penentu muktamad namun memberi perhatian kepada petunjuk-petunjuk pada diri sendiri membantu anda mengenal pasti masalah yang mungkin anda hadapi.

Spread the info
Continue Reading

Kesihatan Lelaki

Punca dan Rawatan Masalah Mati Pucuk

Punca dan Rawatan Masalah Mati Pucuk malaysia

Punca dan Rawatan Masalah Mati Pucuk

Mati pucuk juga dikenali sebagai ‘erectile dysfunction‘. Ia telah mengganggu lebih 50% pesakit yang telah memasuki umur 40 tahun. Masalah ini adalah masalah yang selalu berlaku di dalam masyarakat dan ia boleh menyebabkan kemurungan kepada pesakit tersebut.

 

Ketegangan alat kelamin lelaki adalah disebabkan integrasi diantara sistem saraf pusat, sistem saraf periferi, hormon dan juga sistem pembuluh darah. Apa-apa perkara yang menyebabkan sistem ini tidak berfungsi dengan normal, ia akan menyebabkan lelaki tersebut mengalami masalah ereksi, ejakulasi ataupun orgasm.

 

Kriteria bagi mengesahkan Mati Pucuk

Untuk diagnosis Mati pucuk, kriteria yang digunakan adalah berpandukan pada Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition(DSM-5). Kriteria tersebut adalah

  • Hampir ke semua aktiviti seksual ini dirasakan: 1) Susah untuk mendapat ereksi ketika hubungan seksual berlaku. 2) Susah untuk mengekalkan keadaan ereksi sehinggalah hubungan seks berakhir. 3) Alat kelamin mempunyai ketidaktegangan yang ketara.
  • Simptom tersebut berlaku secara berterusan selama 6 bulan
  • Simptom tersebut menyebabkan stres yang ketara pada individu tersebut
  • Masalah tersebut bukan disebabkan masalah mental yang lain, penyakit, kesan ubat ataupun masalah hubungan kepada pasangan.

Punca Mati Pucuk

Mati pucuk mempunyai pelbagai faktor dan ia boleh dibahagikan seperti dibawah

Penyebab yang berasal daripada masalah pembuluh darah

  • Atherosclerosis
  • Serangan sakit jantung
  • Tekanan darah tinggi
  • Kerosakan pembuluh darah disebabkan rawatan radioterapi
  • Kerosakan pembuluh darah disebabkan rawatan kanser prostat

Penyebab yang berasal daripada penyakit sistemik

  • Kencing manis
  • Kegagalan buah pinggang
  • Cirrhosis hati
  • Kanser dan rawatan kanser
  • Kolesterol yang tinggi

Penyebab yang berasal daripada masalah saraf

  • Epilepsy
  • Angin Ahmar
  • Multiple sclerosis
  • Gullain-Barre syndrome
  • Penyakit alzheimer
  • Slipped disc

Penyebab yang berasal daripada masalah paru-paru

  • Chronic obstructive airway disease
  • Sleep apnea

Penyebab yang berasal daripada masalah endokrin

  • Hipertiroid
  • Hipotiroid
  • Hipogonadism
  • Kencing manis

Penyebab yang berasal daripada masalah alat kelamin

  • Peyronie disease – Adalah masalah terdapat tisu parut di bahagian zakar yang menyebabkan zakar membengkok ketika mana ereksi berlaki. Bahkan ia boleh menyebabkan rasa sakit ketika ereksi
  • Epispadias
  • Priapism

Penyebab yang berlaku disebabkan masalah psiakitri

  • Depresi (tekanan perasaan)
  • Perfomance anxiety
  • Posttraumatic stress disorder

Penyebab yang berlaku disebabkan beberapa jenis ubat

  • Ubat tekanan darah tinggi. Spesifik kepada ubat jenis beta blocker.
  • Ubat anti-depressi
  • Ubat anti-psychotic

Penyiasatan

Beberapa perkara perlu di siasat daripada pesakit jika dia menunjukkan simptom mati pucuk.

Tekanan darah dan juga bacaan gula perlulah diambil bagi pesakit yang mengalami masalah ini. Ini kerana salah satu punca yang selalu menyebabkan pesakit mengalami masalah mati pucuk adalah penyakit tekanan darah tinggi dan juga kencing manis.

Pesakit yang mengalami tekanan perasaan dan kurangnya kehendak untuk melakukan seks perlulah menjalani pemeriksaan hormon seperti testosterone dan juga hormon thyroid. Ini kerana jika hormon tersebut kurang ia akan menyebabkan masalah hypogonadism(kurang testosterone) ataupun hipotiroid(kurang hormon thyroid). Kedua-dua perkara ini boleh menyebabkan masalah mati pucuk

Pesakit juga perlu menjalani pemeriksaan HbA1c ataupun random blood sugar untuk mengetahui sama ada pesakit mengalami kencing manis ataupun tidak. Bacaan kolesterol juga perlu di ambil untuk melihat sama ada pesakit mengalami masalah kolesterol tinggi (hypercholesterolemia) yang juga boleh menyebabkan mati pucuk

Rawatan Mati Pucuk

Perlu diketahui oleh individu yang mengalami masalah ini, mereka perlulah berjumpa dengan doktor untuk mendapat rawatan yang sesuai dengan keadaan pesakit.

Penerangan ini adalah lebih kepada beberapa jenis rawatan berkenaan masalah ini.

Rawatan Ubat-ubatan

  • Phosphodiesterase-5 inhibitors
    • Contoh ubat adalah Slidenafil, verdenafil dan avanafil
    • Fungsi ubat ini adalah untuk mengembangkan saluran darah supaya darah banyak masuk ke dalam alat kelamin dan menyebabkan ereksi dapat berlaku
  • Androgens
    • Ubat ini adalah sesuai bagi mereka yang mengalami kekurangan hormon testosterone dalam darah(hypogonadism).
    • Hormon yang digunakan untuk mungkin membantu pesakit setelah rawatan ubat-ubatan yang lain gagal dalam merawat masalah tersebut
  • Intraurehtral Prostaglandin E1 pellet
    • Pilihan yang lain untuk masalah ini adalah dengan memasukan ubat prostaglandin terus ke dalam saluran air kencing iaitu saluran urehtra. Ia berfungsi untuk membuka saluran darah ke dalam alat kelamin agar ereksi berlaku

Penggunaan alat

Terdapat beberapa alat yang boleh digunakan untuk memberi ketengangan kepada alat kelamin

  • Alat Penyempitan pangkal kelamin
    • Ada sesetengah pesakit yang mengalami masalah pembuluh darah di bahagian kelamin. Penggunaan alat ini adalah dengan cara menghimpit pangkal zakar supaya darah di dalam zakar tidak boleh mengalir keluar dengan cepat.
    • Dengan itu alat kelamin dapat kekal dalam keadaan tegang bagi sesuatu tempoh yang lama.
  • Alat Vakum
    • Alat vakum digunakan untuk menarik darah masuk ke dalam kelamin supaya ia kelamin mengalami ereksi. Setelah alat kelamin mengalami ereksi, satu getah ataupun alat digunakan bagi menghimpit bahagian pangkal zakar supaya darah masih kekal dalam alat kelamin.
    • Ini akan menyebabkan keadaan ereksi boleh dikekalkan dalam satu tempoh yang lebih lama

Pembedahan

Terdapat beberapa jenis pembedahan yang boleh dilakukan kepada pesakit yang masih mengalami masalah ini setelah penggunaan ubat mahupun alat.

Salah satu pembedahan yang dilakukan adalah memasukkan implan ke dalam alat kelamin. Implan tersebut tidaklah menyebabkan pesakit mengalami ereksi tetapi akan masih membenarkan penetrasi berlaki ketika melakukan hubungan seksual walaupun pasangan lelaki tidak mengalami ereksi

***Peringatan penting. Tidak semua rawatan ini disediakan di setiap hospital. Oleh itu, perbincangan dengan pakar perlu dilakukan supaya rawatan yang sesuai dapat diberikan kepada pesakit.

 

Tips untuk mengelakkan Mati Pucuk

Terdapat beberapa tips yang boleh dilakukan untk mengelakkan ataupun merawat masalah mati pucuk

  • Kawal berat badan: Mereka yang mengalami berlebihan berat badan ataupun obese akan mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit kencing manis ataupun darah tinggi.
  • Pemeriksaan tekanan darah secara berkala: Masalah tekanan darah tinggi mungkin akan menyebabkan kurangnya darah mengalir kebahagian alat kelamin menyebabkan mati pucuk. Dengan mengetahui bacaaan tekanan darah anda, rawatan dapat dimulakan dengan segera jika anda mengalami masalah tersebut
  • Kurangkan pengambilan makanan yang meningkatkan kolesterol: Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh meningkatkan kolesterol seperti gula, lemak tepu dan jugak lemak trans. Kolesterol ini boleh terenap pada saluran darah menyebabkan penyempitan saluran darah berlaku.
  • Kawal bacaan gula: Jika anda mengalami kencing manis, anda dinasihati untuk mengawal bacaan gula anda dengan baik. Jika tidak kencing manis tersebut mungkin akan merosakkan saraf ke bahagian kelamin menyebabkan zakar anda tidak mampu untuk tegang
  • Berhenti merokok: Mereka yang merokok mempunyai potensi besar untuk mengalami masalah mati pucuk. Oleh itu, merokok bukanlah sesuatu yang macho kerana ia boleh meragut kelakian anda
  • Bersenam: Senaman boleh membantu mengurangkan berat badan dan membantu badan mengawal gula dengan lebih berkesan. Ini akan mengelakkan penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi
  • Uruskan stress anda dengan betul
  • Elakkan daripada penggunaan dadah

Rujukan:

  1. American Psychiatric Association. Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition. Arlington, VA: American Psychiatric Association; 2013:426-9.
  2. Montague DK, Jarow JP, Broderick GA, Dmochowski RR, Heaton JPW, Lue TF, et al. Erectile Dysfunction. American Urological Association. Available at http://www.auanet.org/guidelines/erectile-dysfunction-(2005-reviewed-and-validity-confirmed-2011). 2011;
  3. Nehra A, Blute ML, Barrett DM, Moreland RB. Rationale for combination therapy of intraurethral prostaglandin E(1) and sildenafil in the salvage of erectile dysfunction patients desiring noninvasive therapy. Int J Impot Res. 2002 Feb. 14 Suppl 1:S38-42.
  4. Latini DM, Penson DF, Lubeck DP, Wallace KL, Henning JM, Lue TF. Longitudinal differences in disease specific quality of life in men with erectile dysfunction: results from the Exploratory Comprehensive Evaluation of Erectile Dysfunction study. J Urol. 2003 Apr. 169(4):1437-42.
  5. Miner M, Seftel AD, Nehra A, Ganz P, Kloner RA, Montorsi P, et al. Prognostic utility of erectile dysfunction for cardiovascular disease in younger men and those with diabetes. Am Heart J. 2012 Jul. 164(1):21-8
  6. Burchardt M, Burchardt T, Baer L, Kiss AJ, Pawar RV, Shabsigh A, et al. Hypertension is associated with severe erectile dysfunction. J Urol. 2000 Oct. 164(4):1188-91.
  7. Rahnema CD, Lipshultz LI, Crosnoe LE, Kovac JR, Kim ED. Anabolic steroid-induced hypogonadism: diagnosis and treatment. Fertil Steril. 2014 May. 101 (5):1271-9.
  8. Costabile RA. Optimizing treatment for diabetes mellitus induced erectile dysfunction. J Urol. 2003 Aug. 170(2 Pt 2):S35-8; discussion S39.
  9. Gambar featured image daripada xanax-wiki.com
Spread the info
Continue Reading

Kencing Tak Lawas

KENCING TAK LAWAS – Masalah Prostat?

Antara simptom yang boleh dijadikan indikasi seseorang mungkin menghidap kanser adalah berlaku beberapa keadaan berkaitan kencing tak lawas, terlalu kerap, tidak puas, tidak lancar, sakit atau pedih, berdarah, kerap kencing malam, terkencing dan terasa sakit ketika berlaku ejakulasi semasa bersetubuh.

Spread the info
Image result for kencing tak lawas
Photo: Shutterstock Kencing Tak Lawas

Masalah Prostat Akibatkan Kencing Tak Lawas

Antara simptom yang boleh dijadikan indikasi seseorang mungkin menghidap kanser adalah berlaku beberapa keadaan berkaitan kencing tak lawas, terlalu kerap, tidak puas, tidak lancar, sakit atau pedih, berdarah, kerap kencing malam, terkencing dan terasa sakit ketika berlaku ejakulasi semasa bersetubuh.

Kanser yang berlaku pada prostat menghenyak pundi kencing menyebabkan pesakit berasa kerap mahu membuang air kecil atau tidak dapat menahan kencing. Pada masa sama prostat yang membesar kerana kanser turut menghimpit salur kencing menyebabkan aliran air kencing tersekat dan susah mengalir keluar. Itulah punca kencing tidak puas atau sakit ketika membuang air kecil,

Kanser Prostat

kanser prostat ialah ketumbuhan yang bermula dalam kelenjar prostat. Dalam beberapa kes, kanser ini membiak dengan perlahan sehingga penghidap tidak mengalami sebarang simptom atau menyedari kewujudannya. Lama-kelamaan ia akan membesar serta mengelilingi prostat. Jika tidak ‘dibunuh’ dengan segera, ia boleh merebak ke tulang belakang yang mengundang risiko lebih besar.

Peringkat satu dan dua hanya membabitkan 5 peratus kanser di sekitar kelenjar. Peringkat tiga pula ia mula merebak ke sarung kelenjar prostat atau vesikal seminal. Dan tahap empat yang dikategorikan serius ialah kanser mula merebak ke pundi kencing, dubur, paru-paru dan tulang. Serangan ke atas tulang belakang boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit belakang malah boleh mengakibatkan lumpuh

 

Image result for kencing tak lawas

 

Punca Masalah Kencing Tidak Lawas

Kencing tak lawas terjadi apabila tidak semua air kencing dikeluarkan dalam satu masa. Jadi, masih ada saki baki air kencing di dalam pundi kencing pesakit. Keadaan ini akan menyebabkan kencing yang kedua, atau seterusnya, mempunyai aliran air kencing yang mengecil. Seterusnya akan buat rasa tersekat-sekat, rasa tidak puas buang air kecil, dan berulang ke tandas.

 

Punca masalah kencing tak lawas di kalangan warga emas lelaki biasanya disebabkan oleh:

  1. Otot pundi kencing yang lemah dan tidak stabil.
  2. Kelenjar prostat bengkak.
  3. Kanser prostat.
  4. Kencing kotor (jangkitan kuman pada pundi kencing).
  5. Batu karang di saluran, atau dalam pundi kencing.
  6. Masalah saraf yang disebabkan oleh penyakit multiple sclerosis.
  7. Kecederaan saraf tulang belakang.
Spread the info
Continue Reading

Recent Posts

Title

5 Petunjuk Tahap Kesihatan Lelaki 5 Petunjuk Tahap Kesihatan Lelaki
Kesihatan Lelaki3 months ago

5 Petunjuk Tahap Kesihatan Lelaki

5 Penunjuk Aras Tahap Kesihatan Lelaki Hakikatnya penyakit tidak mengenal usia, bangsa, agama mahu pun jantina. Apa yang boleh dilakukan...

penyebab penyakit diabetes penyebab penyakit diabetes
Diabetes4 months ago

Secara Senyap 5 Kebiasaan Ini Boleh Jadi Penyebab Penyakit Diabetes

Selama ini kebanyakan orang menduga bahwa penyebab penyakit diabetes ialah kebanyakannya mengambil gula secara berlebihan. Padahal diabetes atau kencing manis...

Punca dan Rawatan Masalah Mati Pucuk malaysia Punca dan Rawatan Masalah Mati Pucuk malaysia
Kesihatan Lelaki5 months ago

Punca dan Rawatan Masalah Mati Pucuk

Punca dan Rawatan Masalah Mati Pucuk Mati pucuk juga dikenali sebagai ‘erectile dysfunction‘. Ia telah mengganggu lebih 50% pesakit yang...

Apa Yang Menyebabkan Batu Karang Boleh Terjadi Apa Yang Menyebabkan Batu Karang Boleh Terjadi
Batu Karang5 months ago

Apa Yang Menyebabkan Batu Karang Boleh Terjadi?

Batu karang terjadi akibat tiada kesempurnaan dalam aliran saluran kencing manusia. Oleh itu, ketidaksempurnaan ini mengakibatkan mendapan yang mengandungi bahan-bahan...

apa-itu-penyakit-batu-karang-malaysia apa-itu-penyakit-batu-karang-malaysia
Batu Karang5 months ago

Apa Itu Penyakit Batu Karang

Penyakit Batu Karang berlaku akibat pemendapan kepelbagaian zat kimia di dalam air kencing pada keadaan-keadaan tertentu boleh menyebabkan terbentuknya kristal....

Image result for kolesterol Image result for kolesterol
Jantung5 months ago

20 Cara Pantas Menurunkan Kolesterol Tinggi yang Terbukti Secara Saintifik

Cara Pantas Menurunkan Kolesterol Ramai yang rasa tertekan untuk menurunkan kolesterol setelah mendapati hasil ujian di klinik. Mendengar perkataan kolesterol...

rawatan-ekzema-kanak-kanak-malaysia rawatan-ekzema-kanak-kanak-malaysia
Ekzema5 months ago

Wajib Baca: Panduan Rawatan Ekzema

Rawatan Ekzema yang paling penting ialah melembapkan kulit dan melegakan gatal.

ekzema-orang-dewasa-malaysia ekzema-orang-dewasa-malaysia
Ekzema5 months ago

Ekzema Orang Dewasa Lagi Sukar

Ekzema adalah penyakit kulit kronik yang disebabkan oleh keradangan kulit dan ketidakupayaan untuk mengekalkan kelembapan yang mencukupi.

Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) Mengganas Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) Mengganas
Kesihatan Umum5 months ago

TERKINI! Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) Mengganas

Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri. Namun begitu, segelintir jangkitan Penyakit Tangan,...

Image result for kencing tak lawas Image result for kencing tak lawas
Kencing Tak Lawas5 months ago

KENCING TAK LAWAS – Masalah Prostat?

Antara simptom yang boleh dijadikan indikasi seseorang mungkin menghidap kanser adalah berlaku beberapa keadaan berkaitan kencing tak lawas, terlalu kerap,...

Trending

Copyright © 2017 Zox News Theme. Theme by MVP Themes, powered by WordPress.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com